Más Allá de La Usurpadora La Usurpadora

Más Allá de La Usurpadora atau Lanjutan La Usurpadora merupakan sekuel mini tentang kehidupan Paulina setelah setahun menjadi isteri Carlos Daniel Bracho. Beliau telah dikurniakan cahaya mata yang bernama Paulita. Raquel pula digajikan untuk menjaga anak-anaknya tetapi Raquel mempunyai muslihat yang lain. Raquel, yang sebenarnya menaruh hati dan perasaan secara rahsia kepada Carlos Daniel Bracho, ingin merampas beliau daripada Paulina dengan apa cara sekalipun walaupun ingin membunuhnya. Lebih teruk lagi, Paulina didapati mengidap kanser yang menyebabkan hayatnya hanya tinggal kurang enam bulan sahaja lagi. Hal itu membuatkannya sedih lantas terus mencari penggantinya setelah dia tiada.

Tentang penyakitnya, Paulina berusaha untuk merahsiakan penyakitnya dari pengetahuan keluarga, kecuali nenek Abuela Piedad Bracho, yang berkeras supaya perkara ini perlu diketahui oleh seluruh ahli keluarga. Setelah Carlos Daniel Bracho dapat mengenalpasti penyakit Paulina, beliau menenangkan Paulina dan meminta untuk melakukan yang terbaik dalam perhubungan bersama sepanjang masa yang beliau ada. Selain itu, Paulina juga dihantui bayangan Paola yang muncul di cermin dan menuduh Paulina merampas identitinya lalu ingin bertemu Paulina di neraka.

Berkenaan Raquel, Raquel menjadi pilihan Paulina dengan menanyakan kepada beliau tentang persetujuan untuk mengahwini Carlos Daniel Bracho sesudah Paulina tiada. Mendengar akan hal itu, Raquel menjadi teruja malah ingin menyebabkan kematian Paulina disegerakan dengan meracunnya.

Kisah ini memberikan penamatan yang gembira di mana keseluruhan keluarga Bracho kembali bersatu termasuk Estefania yang sudah kembali siuman. Paulina pula telah mengetahui yang dia tidak sakit kerana diagnosis kesihatannya telah tertukar dan dia sebenarnya didapati mengandung. Raquel yang ingin meracuni Paulina terkena jerat sendiri apabila dia meminum racun yang diletakkan di dalam gelas Paulina akibat dibuat main oleh Carlitos dan Lisette. Raquel yang menyesal akan perbuatannya telah mendapat keampunan dan beliau pulih seperti sediakala.

Kisah ini hanya mempunyai satu cerita mini yang tiada sambungan dan telah ditayangkan di Malaysia pada hari Sabtu, 26 Mei 2002.